13 Sep 2012

Nicol mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB


BUKIT JALIL - Pemain wanita nombor satu dunia Datuk Nicol David berada di landasan betul dalam memburu kejuaraan kelapan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB apabila mara ke suku akhir selepas menumpaskan Donna Urquhart dari Australia di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Selain Nicol, pemain Malaysia lain yang berjaya menempah tempat ke suku akhir ialah Low Wee Wern dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan.

Pada saingan pusingan kedua hari ini, Nicol mengambil masa 50 minit untuk mengenepikan cabaran lawannya itu dengan 11-6, 8-11, 11-8 dan 11-7.

"Ia satu perlawanan sengit. Donna bermain baik dan beliau hanya melakukan kesilapan pada peringkat awal sebelum memberikan tentangan pada set seterusnya.

Selepas set ketiga saya terpaksa berusaha keras dan ia satu perlawanan yang hebat," kata Nicol.

Pada peringkat suku akhir esok, Nicol akan berdepan Annie Au dari Hong Kong, yang mengalahkan Kasey Brown dari Australia 11-7, 11-8, 11-8.

"...yang saya tahu, bertemu Annie saya tidak boleh melakukan kesilapan dan perlu mempamerkan aksi terbaik bermula pada set pertama. Beliau (Annie) pemain yang bagus dan perlawanan esok pastinya menarik," kata Nicol.

Sementara itu, Wee Wern mempamerkan aksi cemerlang untuk menumpaskan pemain nombor lima dunia Madeline Perry dari Ireland dalam satu perlawanan yang sengit hari ini.

Wee Wern, 22, mengambil masa 62 minit untuk mengalahkan Perry 11-3, 9-11, 11-4 dan 11-8.

Beliau akan bertemu pemain nombor empat dunia Jenny Duncalf dari England yang menumpaskan pemain Perancis, Camille Serme dengan 11-5, 11-4, 11-7.

"Kali terakhir saya bertemu Jenny ialah pada Kejohanan Terbuka Hong Kong tahun lepas dan ketika itu beliau tidak sihat dan saya memenangi perlawanan tersebut. Sebelum ini beliau (Jenny) berehat akibat kecederaan dan saya rasa beliau lebih bertenaga kali ini dan saya harap dapat beraksi dengan baik esok.

"Saya merasakan permainan saya hari ini adalah yang terbaik dan gembira  dengan prestasi saya," kata Wee Wern.

Dalam kategori lelaki hari ini, Mohd Nafiizwan yang menyertai kejohanan itu dengan tiket wildcard, melakukan kejutan dengan mengalahkan Adrian Grant dari England pada pusingan pertama.

Mohd Nafiizwan, 26, menumpaskan Grant 9-11, 5-11, 11-9, 11-4, 13-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 96 minit.

Beliau akan berdepan Tarek Momen dari Mesir pada suku akhir esok. Pada saingan hari ini, Tarek mengalahkan pemain Hong Kong, Max Lee 11-4, 11-8, 4-11, 13-11.

Bagaimanapun, Ong Beng Hee gagal mara ke suku akhir selepas tumpas kepada  Nicholas Mueller dari Switzerland 2-11, 5-11, 2-11 dalam masa 25 minit.

Perlawanan suku akhir dan berikutnya kejohanan berkenaan akan berlangsung di gelanggang skuasy di pusat membeli-belah The Curve di Mutiara Damansara.

Kongsi Laman Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More