SANDAKAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadapi banyak halangan dan rintangan dalam tugasnya terutama untuk mendapatkan saksi di mahkamah, kata Penolong Penguasa SPRM Sandakan Shuhaimi Abdul Manaf.
"Antara yang paling sukar adalah bagi mendapatkan kerjasama daripada orang ramai untuk tampil menjadi saksi penting kepada SPRM.
"Mereka takut identiti mereka diketahui umum dan ancaman terhadap keselamatan diri dan keluarga," katanya ketika ditemubual dalam satu segmen Radio Sandakan FM Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini Khamis.
Dalam usaha memerangi gejala rasuah, orang ramai hendaklah melakukan perubahan dan berani tampil untuk menyalurkan maklumat serta bersedia memberi kerjasama, katanya.
Shuhaimi berkata rintangan lain ialah untuk mendapatkan dokumen penting sebagai bukti dalam sesuatu kes yang kadang-kadang ia disembunyikan dan sengaja dihilangkan.
Katanya, masyarakat awam hendaklah yakin bahawa SPRM benar-benar bebas dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak luar yang boleh mempengaruhi keputusan, keberkesanan pelaksanaan tugas, dan tahap profesionalisme badan itu. - BERNAMA








