10 Nov 2011

Sambutan Keputeraan Sultan Kelantan disambut meriah



KOTA BAHARU - Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang bermula esok akan disambut penuh meriah di seluruh negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata bermula Khamis malam dengan majlis solat hajat dan doa selamat akan diadakan di seluruh masjid negeri itu.

"Esok akan diadakan Majlis Istiadat Meletak Kerja di Istana Balai Besar dan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Padang Merdeka di sini," katanya pada sidang akhbar di Istana Balai Besar Khamis.

Beliau berkata pada Sabtu pula akan diadakan Istiadat Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang, Pingat-pingat, Surat Kepujian dan Jaksa Pendamai.

Esok dan lusa merupakan cuti umum sempena hari keputeraan Baginda yang ke-42 dan oleh kerana Jumaat dan Sabtu merupakan cuti mingguan di Kelantan, rakyat negeri itu turut mendapat cuti gantian pada Ahad.

Sehubungan itu Zainuddin meminta semua pejabat kerajaan, bangunan perniagaan, rumah kediaman, kelab, persatuan di seluruh negeri itu agar mengibarkan bendera negeri dan memasang lampu hiasan.

Ini adalah sambutan hari keputeraan yang pertama buat Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept tahun lepas. - BERNAMA

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More