10 Nov 2011

4 pegawai polis disabitkan kesalahan terima rasuah



SHAH ALAM - Tiga (3) pegawai polis PDRM berpangkat Lans Koperal dan satu (1) pegawai polis berpangkat Konstabel hari ini telah disabitkan hukuman penjara dan dikenakan denda setelah didapati melakukan kesalahan menerima suapan. Hakim Mahkamah Khas Jenayah Rasuah 9, Shah Alam, Azhaniz Teh Bin Azman Teh telah menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati ke-empat-empat pegawai polis tersebut bersalah.

Bagi pertuduhan pertama, Lans Koperal daripada Cawangan MPV Mohammad Faizatulakma Bin Shamsuddin, 28 tahun, dan Lans Korporal Mohd Zuraidi Bin Abu Jasam, 26 tahun, telah disabitkan kesalahan meminta satu suapan, iaitu wang tunai sebanyak RM 1,400.00 daripada Iduan Bin Ariffin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Iduan Bin Ariffin dan Badiatul Adawiyah Binti Md Zubir Ali yang dikatakan telah melakukan kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Faizatulakma dan Konstabel PDRM Zulkfli Bin Jaffar, 29 tahun, yang kedua-duanya bertugas di Cawangan MPV Balai Polis S.E.A Park, IPD Petaling Jaya, telah disabitkan kesalahan menyetuju terima satu suapan, iaitu wang tunai sebanyak RM 600.00 daripada Iduan Bin Ariffin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya dan Badiatul Adawiyah, yang dikatakan telah melakukan kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohammad Faizatulakma, Mohd Zuraidi dan Lans Koperal Nor Haffizo Bin Mat Hassan, 26 tahun, yang kesemuanya bertugas di Cawangan MPV, IPD Petaling Jaya, pada masa itu, telah secara rasuah memperoleh satu suapan, iaitu wang tunai sebanyak RM 800.00 daripada Iduan Bin Ariffin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya dan Badiatul Adawiyah, yang dikatakan telah melakukan kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pendakwaan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Muhammad Bin Sinti daripada SPRM Selangor manakala Mohammad Faizatulakma, Mohd Zuraidi dan Nor Haffizo diwakili oleh peguambela Mokhzani Harris Yusof. Konstabel Zulkfli pula diwakili oleh peguambela Ahmad Zaharil Bin Muhaiyar.
Mohammad Faizatulakma dan Mohd Zuraidi telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat (4) tahun dan dikenakan denda sebanyak RM 10,000.00 bagi setiap pertuduhan. Kegagalan membayar denda tersebut akan menyebabkan hukuman penjara 11 bulan bagi setiap pertuduhan. Hakim menetapkan bahawa hukuman penjara akan dijalankan secara serentak.

Zulkfli dan Nor Haffizo pula telah dikenakan hukuman satu (1) tahun penjara dan didenda sebanyak RM 10,000.00. Kegagalan membayar denda tersebut akan menyebabkan hukuman penjara selama 11 bulan bagi setiap pertuduhan.

*Sumber : SPRM

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More