PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang mahasiswa menzahirkan sokongan atau bangkangan dalam kegiatan politik, sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Low Hop Bing dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor, April tahun lalu.
Mahkamah dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula mereka.
Seksyen berkenaan menyatakan, tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.
Muhammad Hilman Idham, 22; Woon King Chai, 23; Muhammad Ismail Aminuddin, 23; and Azlin Shafina Mohamad Adzha, 23, ditahan polis ketika kempen berkenaan dan kemudian dihadapkan ke lembaga disiplin UKM pada 4 Julai lalu.
*Sumber: Utusan








