Walaupun anda kaki bakar, banyak lagi benda lain yang boleh dibakar kecuali sehelai kain yang diwarnakan menjadi panji atau bendera sesebuah negeri atau negara. Beginilah gambaran yang terjadi kepada penyokong Negeri Sembilan yang dibelasah penyokong pasukan Terengganu pada aksi final Piala Malaysia semalam akibat membakar bendera mereka.
Mungkin ini adalah pengajaran bagi mereka yang tidak menghormati bendera. Bendera bukanlah sekadar kain biasa atau kain hiasan yang boleh dipermain-mainkan. Pada zaman rasulullah lagi bendera atau panji adalah lambang kekuatan dan semangat terutama dalam peperangan.
Dalam sesebuah peperangan, panji atau bendera akan dibawa oleh seorang pahlawan yang hebat. Seandainya pemegang panji itu tewas atau syahid maka pahlawan yang lain akan cepat menyambut panji tersebut dan menjulangnya sebelum sempat ia jatuh ke tanah. Jika jatuhnya panji maka akan melemahkan semangat semua pahlawan yang lain dan menunjukkan kekalahan pasukan tentera tersebut.
Begitulah betapa penting dan berharganya sehelai kain yang bernama bendera. Diharapkan moga selepas ini tidak ada lagi berlaku penghinaan terhadap mana-mana bendera khususnya di negara ini. Apakah perasaan anda jika bendera pasukan anda dibakar atau bayangkan bagaimana jika kita melihat Jalur Gemilang yang kita sanjungi dibakar? Jawapannya ada pada anda.








