KUALA LUMPUR - Cadangan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada
pilihan raya umum bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi malah akan menjejaskan perjalanan kelas dan mengganggu tugas guru.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini berikutan lebih 80 peratus tenaga kerja yang digunakan untuk memastikan kelancaran pengundian adalah terdiri daripada guru sekolah.
Selain itu, SPR juga terpaksa menggunakan semula sekolah untuk dijadikan pusat mengundi yang akan menganggu perjalanan kelas di sekolah tersebut.
"Ini tidak patut berlaku. Kita kena fikir kepentingan semua pihak bukan semata-mata kepentingan politik sahaja," katanya dalam rancangan wawancara 'Hello Malaysia' oleh Bernama TV yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Wawancara selama sejam itubertajuk 'Isu Bubar Dun: Implikasi SPR'.
Wan Ahmad berkata, selain itu, anggaran jumlah kos untuk mengadakan pilihan raya umum adalah kira-kira RM400 juta manakala pilihan raya negeri secara berasingan di negeri Selangor sahaja akan menelan belanja sebanyak RM50 juta.
Kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang perlu ingat bahawa mereka tidak sepatutnya berfikir untuk menang sahaja, tanpa
memikirkan masalah kos, tenaga kerja serta kanak-kanak sekolah yang akan terganggu akibat proses pilihan raya yang terpaksa diadakan dua kali, katanya.
Beliau berkata selain itu, kempen pilihan raya yang diadakan dua kali juga akan mengganggu ketenteraman awam, yang mana kesesakan jalan berlaku dan polis terpaksa terpaksa dikerah ke lokasi berkempen bagi menjaga ketenteraman awam serta mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Sebelum ini empat kerajaan negeri yang di bawah pimpinan PR mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pembubaran Dun masing-masing.
Baru-baru ini, kerajaan Selangor, di bawah pimpinan gabungan pakatan PKR-DAP-Pas dilaporkan enggan mengadakan pilihan raya Dun serentak
dengan pilihan raya umum.
Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan negeri itu belum membuat keputusan sama ada mahu membubar Dun serentak dengan pembubaran Parlimen.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, Pas berpendirian tidak akan membubarkan Dun secara berasingan
dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.
Di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak masih bermain teka-teki dengan berkata pembubaran Dun akan dibuat berdasarkan keadaan politik semasa di negeri jelapang padi itu. - SINARHARIAN








