OTTAWA - Kanada menutup kedutaannya di Iran dan akan mengusir keluar semua diplomat Iran yang masih berada di Kanada dalam masa lima hari, kata Menteri Luar, John Baird Jumaat lalu, sambil mengecam Tehran sebagai ancaman terbesar kepada keselamatan global.
"Hubungan diplomatik antara Kanada dan Iran telah digantung," kata Baird.
Baird menyentuh tentang program nuklear Iran, penentangan Iran kepada Israel dan bantuan ketenteraan Iran kepada Presiden Bashar al-Assad, bagi menghadapi perang saudara dengan kumpulan penentang.
"Kanada melihat kerajaan Iran sebagai ancaman paling berbahaya kepada keamanan dan keselamatan global hari ini," kata Baird dalam satu kenyataan, menuduh pengabaian terang-terangan Iran terhadap keselamatan diplomat asing seperti yang diakui dalam Konvensyen Vienna.
"Dalam keadaan ini, Kanada tidak boleh mengekalkan kehadiran diplomatik di Iran," katanya.
Ottawa telah lama mempunyai hubungan yang kurang baik dengan Iran, antaranya kerana penentangan Iran terhadap sekutu rapat Kanada, Israel.
Amerika Syarikat tidak mempunyai kedutaan yang beroperasi di Tehran sejak krisis tebusan 1979-81 apabila 52 warga Amerika telah dtahan selama 444 hari.
Kedutaan Britain di Tehran pula telah ditutup setelah diserbu oleh penunjuk perasaan November lepas.
Semasa krisis tebusan, Kedutaan Kanada di Tehran melindungi enam diplomat AS yang telah mengelakkan diri dari ditangkap, dan kemudian membantu mereka meninggalkan Iran dengan menggunakan pasport Kanada pada Januari 1980.
Kedutaan Kanada kemudiannya ditutup, dan hanya dibuka semula pada tahun 1988.








