9 Sep 2012

Aksi di Gelora Bung Karno uji mental pemain



JAKARTA - Bukan soal menang atau kalah yang menjadi sasaran jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee terhadap anak buahnya pada kejohanan jemputan Piala SCTV yang berlangsung di Jakarta, Indonesia hari ini.

Sebaliknya, apa yang paling utama ialah kejohanan berkenaan merupakan persiapan awal pada aspek ketahanan mental khusus bagi mempertahankan pingat emas pada kejohanan Sukan SEA di Myanmar tahun depan.

Pada masa sama, Kim Swee juga mahu mendedahkan pemain-pemain baharu yang tidak tersenarai dalam skuad Sukan SEA sebelum ini mengenai suasana beraksi di depan ribuan penyokong lawan yang sangat terkenal ‘kurang senang’ dengan pasukan Malaysia.

Kim Swee yang berpengalaman melihat aksi luar biasa penyokong Indonesia di padang Stadium Utama Gelora Bung Karno sebelum ini menyifatkan, berhadapan dengan pasukan Garuda Muda dari negara jiran itu memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada pemain-pemain muda.

Menurut beliau, apa yang perlu dipahat di minda semua pemain setiap kali berhadapan dengan pemain Indonesia ialah semuanya mengenai sentimen.

“Kerana itu, saya sering katakan jangan terlalu tertekan untuk mengejar kemenangan. Apa lagi kita semua sedia maklum setiap kali pasukan bola sepak Malaysia berhadapan dengan pasukan Indonesia, kita harus bermain di bawah tekanan yang sangat menguji daya ketahanan mental.

“Justeru, peluang beraksi di kejohanan SCTV ini akan menjadi bekalan buat mereka untuk beraksi di kejohanan besar yang lain termasuk Sukan SEA di Myanmar tahun depan," kata Kim Swee ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kesibukan menjalani latihan di saat-saat akhir Kejohanan Piala SCTV 2012, Kim Swee dan pemain-pemain Harimau Muda sempat menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Syed Hasrin Tengku Hussin di kediamannya di Menteng di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Duta Besar Malaysia di Jakarta, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan pengurus pasukan Harimau Muda, Datuk Affandi Hashim.

Pada Kejohanan Piala SCTV hari ini, skuad Harimau Muda akan bertemu dengan pasukan Garuda Muda di Stadium Utama Gelora Bung Karno pukul 7.30 malam (8.30 malam waktu Malaysia). - Mingguan


Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More