SAN FRACISCO - Apple semalam telah melancarkan model terbarunya iPhone 5 yang merupakan model ternipis dan paling ringan berbanding model iPhone sebelumnya dilengkapi dengan skrin 4 inci (Retina display). Apple telah membekalkan cip A6 pada model iPhone 5 untuk menambahkan kelajuan pada gajet itu ditambah dengan penambahan kelajuan pada teknologi tanpa wayar serta bateri yang lebih tahan lama.iPhone 5 didatangkan dengan sistem operasi iOS 6 yang menampilkan 200 ciri-ciri yang baru termasuk aplikasi newMaps dengan Apple-designed cartography serta turn-by-turn navigation. Selain itu antara aplikasi baru yang dibekalkan pada iPhone 5 ini ialah Facebook integration, Passbook organization, serta Siri dengan ciri-ciri lebih unggul dalam pelbagai bahasa.
Selain itu, iPhone 5 juga merupakan telefon pintar ternipis di dunia dengan ketebalan hanya 7.6mm iaitu 18 peratus lebih nipis dan 20 peratus lebih ringan berbanding iPhone 4S. Kerangka aluminium yang membaluti badan iPhone 5 baru ini menyerlahkan lagi kehebatan produk terbaru Apple ini.
Paparan 4 inci Retina display pada iPhone 5 menampilkan gambar dan piksel yang lebih baik berbanding iPhone 4S. Dengan ciri skrin lebih panjang tetapi tidak lebar menjadikan telefon pintar ini mudah dikendalikan sama ada untuk menonton HD video atau untuk melayari laman web.
iPhone 5 menyokong teknologi tanpa wayar terpantas dengan fungsi mobile data LTE dan HC-HSDPA untuk pelayaran internet dan muat turun yang lebih pantas. Model ini juga dilengkapi ciri-ciri dual-band 802.11n dengan menyokong Wi-Fi dengan kelajuan sehingga 150Mbps.
Selain itu, iPhone 5 juga dibekalkan dengan kamera iSight 8 megapiksel yang direka semula untuk menghasilkan gambar optikal terbaik. Lensa yang 25 peratus lebih kecil berbanding iPhone 4S itu mampu menghasilkan gambar panorama sehingga 28 megapiksel.
Rakaman video diberi nafas baru dengan dilengkapi ciri-ciri kestabilan imej disamping ciri 'video face detection' yang mampu mengecam sehingga 10 wajah serta kebolehan mengambil gambar pegun sewaktu rakaman video. Kamera HD pada bahagian hadapan pula mampu merakam sehingga 720p HD video. iPhone 5 juga diintegrasikan dengan iCloud's untuk perkongsian gambar secara online. - (Dipetik daripada www.apple.com - Terjemahan oleh Mohd Faizal bin Awang Senik)









