KUALA LUMPUR - Shell Refining Co (FOM) Bhd mengalami kerugian bersih sebanyak RM99 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Dis, 2011, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM115 juta pada suku yang sama 2010.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Jumaat, Shell berkata ini menjadikan prestasi tahun penuh 2011 kepada kerugian bersih sebanyak RM126 juta berbanding RM106 juta untung bersih pada 2010.
Menurut Shell, kerugian itu terutamanya disebabkan oleh kelemahan margin penapisan dan pengeluaran lebih rendah.
"Kelemahan margin penapis disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah berikutan krisis tenaga Jepun dan isu geopolitik timur tengah," katanya.
Mengenai prospek, pengerusi Anuar Taib berkata tumpuan utama penapisan untuk mengoptimum prestasi termasuk memastikan fleksibilti pemprosesan yang dijangka siap pada suku keempat 2012.
Shell mengemukakan dividen akhir sebanyak 20 sen sesaham bagi tahun kewangan dalam kajian. - BERNAMA








