15 Feb 2012

Piala Thomas - Malaysia juara Kumpulan D, jumpa India di suku akhir



KUALA LUMPUR - Malaysia menamatkan kempen Kumpulan D selaku juara selepas menumpaskan pilihan kedua, Korea Selatan 3-1 sebentar tadi, sekali gus mengelak daripada bertemu Indonesia pada suku akhir kejohanan kelayakan Piala Thomas di Macau.

Beregu muda, Lim Khim Wah-Goh V Shem mengesahkan kemenangan pasukan negara selepas menumpaskan gandingan Lee Yong Dae-Shin Baek Choel 18-21, 21-19, 21-11.

Terdahulu, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meletakkan Malaysia mendahului 1-0 dengan mengutip mata pertama menewaskan Lee Hyun Il 21-13, 21-15, sebelum pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menamatkan badi enam kekalahan ke atas Yoo Yeon Seong-Ko Sung Hyun menerusi kemenangan 21-14, 21-19 untuk Malaysia 2-0 di depan.

Skuad negara bagaimanapun cemas seketika apabila Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan 1-2 selepas pemain mudanya, Shon Wan Ho menumpaskan Muhammad Hafiz Hashim 24-22, 21-16 dalam perseorangan ketiga.

Ketika ramai yang tidak begitu yakin dengan peluang Khim Wah-V Shem untuk menewaskan Yong Dae-Baek Choel, anak buah Tan Kim Her itu tidak menghampakan apabila mengutip mata kemenangan, sekali gus membawa pasukan negara bertemu India di suku akhir, hari ini.

Satu lagi perseorangan lelaki negara, Mohd. Arif Latif sedang beraksi menentang Hong Ji Hoon untuk melengkapkan jadual perlawanan. Kalah atau menang tidak akan membawa sebarang perbezaan kerana kita sudahpun menjuarai Kumpulan D. - UTUSAN



Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More