![]() |
| [Gambar hiasan] |
KUCHING - Dua orang yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir kilat semalam masih belum ditemui, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong Jumaat.
Beliau berkata setakat 11 pagi ini, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada anggota Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam belum menemui pelajar tingkatan enam Kho Ying Qi dan pekerja stesen minyak Herman Sihas.
"Kawasan mencari turut diperluaskan sehingga ke sungai yang berdekatan namun sehingga kini kami masih belum dapat mengesan mereka," katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.
Kho, 19, dilaporkan tergelincir ke dalam parit monsun ketika sedang meranduk sebahagian Jalan Rock di sini yang digenangi air kira-kira 7 pagi semalam.
Herman, 29, yang ternampak gadis itu terjatuh ke dalam parit segera terjun untuk menyelamatkannya tetapi turut dihanyutkan oleh arus deras. - BERNAMA








