KUALA LUMPUR - Undian bagi saingan Piala FA 2012 menyaksikan juara bertahan Terengganu yang kini dikendali Mat Zan Mat Aris berdepan tugas sukar untuk mempertahankan kejuaraan mereka.
Seandainya Terengganu berjaya melepasi halangan pusingan pertama menentang PDRM, pemenang antara pertemuan Perak dan pasukan gergasi Liga Perdana, ATM menanti mereka di pusingan berikutnya.
Tidak cukup dengan itu empat pasukan Liga Super termasuk Selangor dan Negeri Sembilan mungkin jadi lawan mereka di peringkat separuh akhir.
Hal tersebut menyebabkan Mat Zan mengakui misi mempertahankan Piala FA musim ini nyata lebih sukar dengan dia turut mengharapkan elemen keajaiban membantu mereka.
"Saya tidak nafikan laluan kami agak berliku dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA, oleh itu saya sangat berharap para pemain dapat mengekalkan fokus dan komited sepanjang saingan nanti.
"Bagi saya semuanya tidak mustahil dalam bola sepak dan para pemain tidak akan mengalah awal sebelum turun berjuang," kata Mat Zan.
Jurulatih T'gganu tersebut pernah membantu Terengganu menjulang Piala Malaysia edisi 2001 itu turut mahu bina legasi baru bersama skuad peteh dengan menjuarai Liga Super buat kali pertama.
Dengan Terengganu berjaya mengekalkan pemain tonggak disamping berjaya memancing pemain-pemain berkualiti seperti pertahanan skuad senior Mohd Muslim Ahmad, Mat Zan tidak segan silu mengakui dia memiliki barisan pemain yang ampuh untuk mencapai objektif itu.
Antara undian pusingan pertama Piala FA yang akan berlangsung 18 Februari musim hadapan menyaksikan juara bertahan, Terengganu turun menentang PDRM sementara naib juara musim lalu, Kelantan membuka tirai berdepan Sarawak.
Skuad Lions Twelve pula bakal turun menentang pasukan UiTM, manakala Selangor akan beraksi di tempat lawan menentang Shahzan Muda, Harimau Muda B bertemu Pulau Pinang, Johor berdepan T-Team dan Felda United diundi menentang Pahang. - ARENA








