KUALA LUMPUR - Penantian setahun D. Saarvindran nyata berbaloi apabila impiannya untuk kembali ke dalam skuad Harimau Muda A semakin tercapai selepas mendapat panggilan daripada Ong Kim Swee untuk beraksi di Australia.
Saarvindran sebelum ini digugurkan daripada skuad Harimau Muda B, namun aksinya semasa bersama Felda Utd nyata membuka ruang baru untuk dirinya memperbaiki aksi dan membuka mata pengendali skuad Olimpik, Kim Swee.
"Kim Swee masih mempunyai kepercayaan ke atas saya sebab itu saya dipanggil. Saya tekad untuk membalas kepercayaan yang diberi Kim Swee jika diturunkan dalam tiga perlawanan persahabatan," kata Saarvindran.
Pemain berusia 19 tahun tersebut berjaya membantu Felda muncul juara dalam saingan Liga Perdana serta juga dalam kempen Piala Malaysia yang lalu. - ARENA








