KUALA LUMPUR - Faktor cuaca yang tidak menentu nyata mengganggu persiapan skuad Olimpik menjelang perlawanan persahabatan pertama menentang kelab tangga kelima Liga Australia iaitu Sydney FC.
Jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee menegaskan cuaca tidak menentu membataskan latihan skuadnya dan mereka hanya sempat berlatih dua kali sejak tiba di Sydney semalam.
Menyedari ia sedikit menjejaskan persiapan skuadnya, Kim Swee mengganggap ia bukan penghalang dan mempunyai perancangan strategi sendiri sebelum mereka turun beraksi berhadapan Sydney FC yang hanya tewas tiga kali sepanjang 9 perlawanan liga ketika ini.
"Hari ini kami menjalani latihan kedua pagi tadi dimana petang kami tidak dapat berlatih kerana cuaca agak mendung serta hujan agak lebat tadi.
"Keadaan semua pemain berada pada tahap terbaik kecuali tiga pemain yang masih bergelut dengan kecederaan," kata Kim Swee.
Tiga pemain negara yang mengalami kecederaan terbabit ialah Syahrul Azwari, Irfan Fazail dan K. Gurusamy, ia nyata menimbulkan kerisauan Kim Swee terutama Irfan yang baru sembuh daripada kecederaan di Slovakia kini berulang.
"Saya rasa Irfan dan Syahrul akan sempata sembuh sebelum perlawanan ketiga manakala Guru hanya memerlukan satu dua hari untuk kembali berlatih bersama," tambah Kim Swee lagi.
Meskipun menyedari kekurangan yang dialami skuadnya, Kim Swee enggan terlalu bergantung harap kepada tiga pemain tersebut dan berharap untuk menggunakan peluang ini menguji barisan baru dalam skuadnya.
"Saya akan beri peluang kepada pemain baru yang dipilih untuk memberi aksi terbaik mereka supaya pada masa hadapan saya mempunyai pilihan sekiranya pemain utama mengalami kecederaan."
Skuad negara dijadualkan bertemu Sydney FC pada Selasa diikuti Central Coast Mariners dan Newcastle Jets. - ARENA








