12 Dis 2011

Rakyat diseru bersatu padu



KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat berbangsa Melayu di Selangor agar bersatu padu mempertahankan kesucian agama Islam dan jangan berpecah-belah disebabkan berlainan ideologi dan fahaman politik.

Baginda bertitah, rakyat berbilang kaum di negeri ini juga mesti sentiasa bersabar, tidak menyakitkan hati satu sama lain serta jangan sekali-kali memfitnah kerana ia akan menimbulkan syak wasangka dan keresahan dalam kalangan rakyat, seterusnya menjadikan Selangor huru-hara malah rakyatnya tidak dapat hidup dengan aman.

“Pada hemat beta, tiada guna jika Negeri Selangor diakui sebagai sebuah Negeri Maju, tetapi keadaan negeri dan rakyatnya bergelora disebabkan perselisihan faham antara satu sama lain, baik dari segi politik, agama atau sosial.

“Selangor akan menjadi mundur dan rakyatnya akan hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan jika tidak sama-sama mendukung dan memelihara keamanan. Beta sentiasa berdoa ke hadrat ALLAH SWT supaya Selangor yang beta kasihi ini sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala malapetaka,” titahya.

Demikian titah ucapan baginda sempena Hari Keputeraan Baginda ke 66 di Balairong Seri, Istana Alam Shah di sini semalam.

Dalam titah ucapannya juga, baginda mahu seluruh rakyat Selangor hidup dengan berkasih-kasihan dan mengecapi nikmat kehidupan bahagia dan sempurna.

“Persembahan yang sangat beta hargai daripada rakyat Selangor kepada beta di Hari Keputeraan beta ialah keamanan berterusan dan rakyat beta berbilang bangsa dan agama di Selangor hidup dalam toleransi, harmoni dan sejahtera.

“Beta berharap dan memohon kepada ALLAH SWT supaya beta dapat melihat kemakmuran dan kesejahteraan Negeri Selangor ini sehingga akhir hayat beta dan seterusnya,” titah baginda.

Baginda juga memberikan penghargaan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi demi keselamatan dan ketenteraman negeri Selangor.

“Beta berkenan supaya polis terus meningkatkan usaha mengurangkan kadar jenayah di Selangor. Beta menyeru rakyat Selangor supaya bekerjasama dengan polis dengan memberikan maklumat yang boleh membantu polis menjalankan tugas mereka untuk mencegah jenayah.

“Beta juga mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, hospital, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi penguatkuasaan dan lain-lain perkhidmatan yang turut menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Selangor,” katanya.

Baginda bertitah, sempena sepuluh tahun pemerintahannya, baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor lebih banyak berbanding tahun sebelumnya kepada penerima yang layak iaitu sebanyak 113 penerima.
Bagaimanapun jumlah tersebut masih tidak melebihi kuota yang ditetapkan malah lebih pengurniaan hanya untuk kali ini sahaja.

Baginda juga mengingatkan penerima Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor akan terus memberikan sumbangan dan bakti kepada masyarakat, institusi dan negeri ini. - SINAR HARIAN



Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More