7 Dis 2011

Enam pelumba lebuh raya rebut dua tiket ke Olimpik



KUALA LUMPUR - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) telah menyenarai pendek enam pelumba yang akan merebut dua tiket bagi mewakili negara dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki (lebuh raya) ke Sukan Olimpik 2012.

Mereka ialah pemenang dua pingat emas Sukan SEA Indonesia bulan lalu, Mohd Harrif Salleh, pemegang pingat gangsa acara lebuh raya Sukan SEA Laos 2009, Mohd Zamri Salleh, dua bekas pelumba kelab Australia Drapac, Mohd Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli, pemenang jersi hijau Le Tour de Langkawi 2010, Anuar Manan dan ayam tambatan pasukan Le Tua Cycling, Ng Yong Li.

"Senarai nama enam pelumba ini besar kemungkinan akan dibincang dalam mesyuarat exco MNCF pada 12 Dis ini sebagai satu pemberitahuan.

"Kita di MNCF sangat berbangga kerana akhirnya kita berjaya menyertai acara lebuh raya Olimpik secara merit," kata Presiden MNCF, Abu Samah Abdul Wahab  dalam satu kenyataan pada Selasa.

Malaysia layak secara merit dalam acara tersebut bersama pelumba Jepun, Uzbekistan dan Kazakhstan.

Penyertaan ke Olimpik ini merupakan pertama kali dalam arena sukan berbasikal (lebuh raya) negara sejak 20 tahun lalu.

Abu Samah berkata kesemua pelumba tersebut akan diberi surat tawaran bagi menjalani sesi latihan khas yang buat permulaan mereka akan dibimbing oleh jurulatih tempatan Syed Mohamad Hussin Syed Mazlan.

"Buat permulaan mereka akan berlatih di Terengganu selama sebulan bagi membolehkan jurulatih mengenal pasti bakat kayuhan semua enam pelumba," katanya.

Sementara itu beliau berkata seorang lagi pelumba kebangsaan Akmal Amrun yang pernah berlatih dalam acara trek di Melbourne, Australia diletakkan dalam senarai menunggu.

Mengulas mengenai kelayakan itu, Abu Samah berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa geran pembangunan dari Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM6.7 juta yang disumbangkan kepada persekutuan itu sejak 2007, kini berjaya menepati sasaran dan boleh dianggap sebagai satu pelaburan berbaloi.

"Pelaburan ini merangkumi perbelanjaan pembangunan skuad lebuh raya negara untuk menyertai seberapa banyak perlumbaan dan sesi latihan di dalam serta luar negara termasuk untuk menyertai Le Tour de Langkawi.

"Sasaran kita sebenarnya Sukan Olimpik 2016. Tapi kita berjaya lebih awal iaitu empat tahun daripada sasaran yang ditetapkan," ujar Abu Samah. - BERNAMA



Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More