KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Pantai Timur Isnin petang menunjukkan perkembangan positif dengan banjir di Terengganu pulih sepenuhnya manakala di Kelantan, hanya dua daerah masih terjejas akibat iaitu Pasir Mas dan Tumpat.
Di KELANTAN, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata daerah Kota Baharu kini bebas daripada bencana itu apabila semua pusat pemindahan ditutup.
"Sehingga kini, mangsa banjir yang ditempatkan di dua daerah itu ialah seramai 1,327 orang membabitkan 380 keluarga.
"Hanya tujuh pusat pemindahan yang masih beroperasi iaitu enam di Pasir Mas dan satu di Tumpat," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus menunjukkan penurunan kepada 10.05 meter, bagaimanapun, masih melebihi paras bahaya iaitu sembilan meter.
Selain itu, jurucakap tersebut berkata lima laluan di Pasir Mas dan Tumpat ditutup kepada kenderaan ringan.
"Di Pasir Mas, empat laluan ditutup iaitu Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu Kilometer 10; Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 Kilometer 1; Jalan Pengkalan Rakit Kilometer 3 dan Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram Kilometer 3.
"Satu laluan ditutup di Tumpat iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti Kilometer 3," katanya.
Banjir di Kelantan meragut empat nyawa manakala tiga lagi yang dilaporkan hilang, dikhuatiri lemas.
Empat mangsa lemas itu termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun manakala mereka yang hilang terdiri daripada remaja berusia antara 10, 14 dan 15 tahun.
Mereka yang masih hilang dikenali sebagai Mohd Alif Rizuan, 15, yang mandi di sebatang sungai di Machang, Mohd Azman Yusuf, 17, di Sungai Golok dan Mohd Farid Mohd Yusof, 20, di Pantai Kuala Pak Amat.
Sementara itu, di TERENGGANU, semua 26 mangsa banjir terakhir yang berada di pusat pemindahan Kuala Terengganu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri berkata enam keluarga yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang.
Banjir musim tengkujuh melanda beberapa daerah di Terengganu Ahad lalu setelah hujan lebat berterusan selama beberapa hari sebelum itu.
Setiu antara yang awal dilanda banjir diikuti daerah lain seperti Hulu Terengganu, Marang, Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut sehingga memaksa hampir 3,000 penduduk dipindahkan.
Banjir kali ini turut mencatat satu kematian di Setiu melibatkan kanak-kanak berumur lapan tahun. - BERNAMA








