JAKARTA - Sungguhpun acara perasmian Sukan SEA Indonesia berlangsung di Stadium Jakabaring Palembang, namum kota Jakarta tidak ketinggalan menyambut upacara pembukaan temasya sukan itu tetapi secara sederhana.
Sambutan diadakan di Lapangan Medan Merdeka, Jakarta Pusat oleh penganjur temasya dengan kawalan keselamatan yang ketat tanpa kelibat percikan bunga api.
Pada acara yang berlangsung malam ini, kontinjen Malaysia yang diwakili 25 anggota, majoritinya atlet skuad berbasikal lebuh raya, memanah dan taekwondo serta anggota sekretariat yang diketuai ketua kontinjen negara Datuk Naim Mohamad, hadir menyaksikan upacara pembukaan temasya yang turut dibawa secara langsung menerusi skrin besar di tengah-tengah laman itu.
Gabenor Jakarta Fauzi Bowo ketika berucap pada upacara itu mahukan negara-negara yang bertanding mengutamakan semangat kesukanan demi kesetiaan semangat Asean.
"Saya berharap seluruh kontinjen akan bersama-sama gembira dalam setiap kompetisi," katanya.
Semasa pembukaan tersebut, kontinjen dari 11 negara dan pengunjung disajikan dengan pelbagai tarian kebudayaan Betawi dan juga beberapa artis tuan rumah menghangatkan suasana sehingga lewat malam. - BERNAMA








