![]() |
| [Gambar hiasan] |
KUALA LUMPUR - Ratusan pasangan Jumaat memilih untuk mengabadikan detik bersejarah melangsungkan perkahwinan pada tanggal 11.11.11 di seluruh negara.
Tarikh ini yang dianggap sangat menarik dan bersejarah menjadi pilihan ramai memandangkan ia hanya berlaku sekali setiap 100 tahun.
Di GEORGE TOWN sebanyak 198 pasangan Islam melangsungkan perkahwinan hari ini manakala 34 pasangan mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.
Menurut jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang daripada 198 pasangan itu, sebanyak 40 pasangan di Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya (32), Daerah Seberanga Perai Tengah (59), Daerah Seberang Perai Utara (33) dan sebanyak 18 pasangan di Daerah Seberang Perai Selatan.
Sementara itu Penolong Pengarah (Perkahwinan dan Perceraian) JPN Pulau Pinang Ooi Chun Boon berkata ia merupakan kali kedua JPN menganjurkan majlis perkahwinan besar-besaran, yang pertama pada tahun lepas iaitu 10.10.10 dan pihaknya merancang untuk majlis yang sama tahun depan pada 12.12.12.
Antara mereka yang memilih untuk berkahwin di JPN ialah pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) Ng Ka Seong, 34, dan Lim Chai Hong, 27, yang menjalinkan persahabatan di sebuah sekolah khas di Tanjung Bungah kira-kira 11 tahun lepas.
Di Moral Che Hoon Khor menyaksikan sebanyak 111 pasangan meraikan perkahwinan mereka, manakala di Dewan Perhimpunan Cina seramai 80 pasangan berkumpul bagi mendaftarkan perkahwinan mereka.
Sementara itu, sebanyak 15 pasangan yang berkahwin hari ini diarak dengan beca untuk mengelilingi bandar George Town dalam pakej perkahwinan anjuran sebuah hotel bertaraf empat bintang.
Di KULIM, sebanyak 17 pasangan memilih untuk bernikah secara beramai-ramai , pada majlis yang berlangsung di Masjid Jamiul Makmur Kulim di sini.
Seorang anggota polis Zaihan Chin, 26, berkata dia dan pasangannya Siti Fatinah Mohd Yusof, 22, memilih tarikh itu kerana ia adalah sesuatu yang unik dan amat bermakna baginya.
"Kalau kami menyambut ulang tahun perkahwinan, tidaklah tersasul dengan tarikh ini. Maklumlah 11.11.11 sesuatu yang unik kerana berlaku sekali dalam hidup dan dinantikan ramai pasangan pengantin seperti kami," kata Zaihan yang berasal dari Kampung Ulu Bakai, Baling, dekat sini dan kini bertugas di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Imam Besar masjid berkenaan, Sobri Ismail berkata pihaknya terpaksa membahagikan upacara akad nikah berkenaan kepada dua sesi iaitu sebelah pagi dan petang untuk mengelakkan kesesakan di kawasan masjid.
Di SUNGAI PETANI, seramai 63 pasangan berketurunan Cina menyertai program perkahwinan secara besar-besaran anjuran Persatuan Kebajikan Cina Beng Siew hari ini.
Setiausaha persatuan itu Koay Han Tiong berkata program itu bertujuan menggalakkan golongan muda untuk berumah tangga dan membina keluarga pada usia yang sesuai supaya dapat meneruskan kesinambungan generasi berkualiti.
Beliau berkata walaupun tarikh 11.11.11 tidak memberikan makna bertuah kepada masyarakat Cina, namun ia sangat digemari di kalangan generasi muda.
Di KUALA TERENGGANU, sebanyak 19 pasangan pengantin berketurunan Tionghua diraikan dalam majlis perkahwinan beramai-ramai anjuran Persatuan Buddha Terengganu (TBA) pada 10 pagi tadi di bangunan TBA di sini.
Daripada jumlah itu, 12 pasangan merupakan pengantin baru yang berkahwin hari ini manakala tujuh lagi pasangan sudah berkahwin tetapi mendaftar semula perkahwinan mereka.
Presiden TBA, Wong Choon Kheng dan isteri, Chia Siew Hoon serta Naib Pengerusi, Chong Jun Hwa bersama pasangannya, Lee Beng Ong serta Setiausaha Agung persatuan itu, Soon Gin Leong dan isteri, Ong Yok Lan turut mendaftar semula perkahwinan masing-masing.
Sementara itu, pasangan Lim Beng Thian, 75, dan isteri, Ong Eng Cheng, 64, yang telah berkahwin sejak 37 tahun lalu mendaftar semula perkahwinan mereka sempena tarikh 11.11.11 yang dianggap 'bersejarah'.
Malah menurut Beng Thian, 11 November juga merupakan tarikh bermulanya dia mengenali isterinya, Eng Cheng sehingga membawa mereka mendirikan rumahtangga.
"Tarikh ini (11.11.11) sangat (ong) (bertuah), walaupun dah lama kahwin tapi kami daftar semula hari ini sebagai satu kenangan paling indah," katanya sambil menambah, hasil perkongsian hidup dengan Eng Cheng, mereka dikurniakan dua anak dan tiga orang cucu. - BERNAMA








