[Oleh : Mohd Faizal Awang Senik]
Terjumpa gambar yang agak mengejutkan ini membuatkan penulis ingin berkongsi dengan para pembaca gambar sebuah kereta Mercedes c63 AMG yang bersalut emas.
Tampak kemas, elegan dan mewah sudah pasti harganya juga mencecah jutaan ringgit. Cuba menyusur galur mencari maklumat tentang kereta mewah melampau ini akhirnya berjaya menemui sedikit info tentangnya.
Mercedes c63 AMG bersalut emas ini dilancarkan di sebuah Mall terkenal di Dubai. Badan bersalut emas dengan beberapa rekabentuk luaran yang terbaik menjadikan kereta tersebut kelihatan lebih menakjubkan. Semburan cat yang sempurna pada luaran telah dilakukan dengan cermat dan teliti menyerlahkan lagi kesempurnaannya. Malah bahagian dalam kereta direka bentuk sebegitu rupa untuk menjamin pemanduan yang licin dan menjadikan pemanduan suatu pengalaman yang sukar dilupakan.
Sungguhpun begitu, pada pendapat penulis kereta ini adalah membazir. Jika di Malaysia, nilai kereta ini sudah pasti mampu untuk membina beratus buah rumah PPRT. Jika di Palestin sudah pasti ia dapat membantu menyediakan pakaian dan makanan kepada kanak-kanak yang menderita akibat kekejaman rejim yahudi.
Namun kereta ini dilancarkan di Dubai, kena pada harga dan gayanya. Dubai adalah sebuah kota besar di Emiriah Arab Bersatu dihuni oleh saudagar-saudagar minyak dan jutawan-jutawan arab. Jadi mungkin bagi mereka harga Mercedes c63 AMG ini hanya seumpama harga Proton Persona di Malaysia sahaja.














