KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Muda, yang tewas 2-3 kepada Bahrain dalam perlawanan kelayakkan Olimpik Ahad lalu (27/11/11) akan berehat sementara waktu sebelum menyambung latihan di Australia pada pertengahan Disember ini.
Ketua Jurulatih, Ong Kim Swee mahu anak-anak buahnya berehat sepuas-puasnya dan melupakan sepenuhnya bola sepak buat sementara waktu.
Barisan Bawah 22 tahun itu telah mengerah segala kudrat sepanjang tiga minggu sebelum ini, mengharungi enam perlawanan di Sukan SEA ke-26 di Indonesia dan dua perlawanan kelayakkan Olimpik.
'Biarlah mereka mengambil kesempatan ini berehat secukupnya dan luangkan masa bersama ahli keluarga," kata Kim Swee.
Kim Swee memberi jaminan bahawa Harimau Muda tetap meneruskan perjuangan dan menjanjikan aksi terbaik walaupun harapan layak ke Olimpik hampir berkubur selepas kecundang dalam kesemua tiga perlawanan pertama.
"Untuk baki tiga perlawanan seterusnya, misi tetap sama iaitu memburu kemenangan dan mata. Kita mahu memanfaatkan sepenuhnya perlawanan berkualiti tinggi seperti ini untuk kita belajar sesuatu," jelasnya.
Malaysia dijadual bertemu Bahrain pada 5 Februari depan, diikuti Jepun (22 Februari) dan Syria (14 Mac).
Malaysia kini menghuni tangga terakhir Kumpulan C selepas gagal meraih sebarang mata, dengan Jepun di kemuncak dengan sembilan mata, meninggalkan Syria (enam) dan Bahrain (tiga).








