ALOR SETAR – Bekas Pengarah Wilayah Utara Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dikenakan hukuman penjara enam tahun dan denda RM 150,000.00 setelah disabitkan bersalah ke atas dua pertuduhan rasuah terhadapnya di Mahkamah Sesyen 2 Alor Setar semalam.
Mahmad Faisaal Bin Fadzil, 54 didakwa melakukan dua kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 .
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009 apabila secara rasuah meminta wang tunai RM15,000.00 daripada Azmi bin Mohamad.
Tertuduh didakwa berbuat demikian pada 21 Julai 2009 di dalam daerah Kota Setar ketika berkhidmat sebagai Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Zon Utara apabila meminta wang tunai tersebut sebagai upah menyokong Azmi sebagai pembekal benih berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia pada 15 Jun 2009 dan melantik Azmi untuk membekal benih nanas melalui Pesanan Pembekalan Benih Nanas No: 0728 bertarikh 9 Jun 2009 bernilai RM18, 850.00, No: 0709 bertarikh 22 Februari 2009 bernilai RM 33, 350.00 dan No: 07110 bertarikh 22 Februari 2009 bernilai RM 34,437.50.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 apabila secara rasuah memperolehi wang tunai daripada individu yang sama bagi tujuan yang sama.
Tertuduh didakwa berbuat demikian pada 22 Julai 2009 dalam CIMB Bank Bhd, Jalan Tunku Ibrahim, Kota Setar apabila secara rasuah memperolehi wang tunai RM15,000.00 daripada Azmi bin Mohamad bagi upah menyokong Azmi sebagai pembekal benih berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia pada 15 Jun 2009 dan melantik Azmi untuk membekal benih nanas melalui Pesanan Pembekalan Nanas No:0728 bertarikh 9 Jun 2009 bernilai Rm18, 850.00, No:0709 bertarikh 22 Februari 2009 bernilai RM 33.350.00 dan No:0710 bertarikh 22 Februari 2009 bernilai RM34,437.50.
Hakim, Mohd Rosli Osman mensabitkan tertuduh bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang didakwa keatasnya dan menetapkan hukuman penjara selama tiga tahun bagi setiap satu pertuduhan serta denda RM75,000.00 bagi setiap pertuduhan yang disabitkan keatasnya. Hakim juga menetapkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas tertuduh berjalan serentak.
SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Janariah Abdul Mutalib, manakala tertuduh diwakili oleh Rahamathullah Baharudeen. - SPRM








