10 Nov 2011

Beca jadi pengangkutan atlet di Kompleks Sukan Jakabaring

[Gambar oleh BERNAMA]


PALEMBANG -  Sebanyak 325 buah beca disediakan bagi pengangkutan atlet dan petugas termasuk media di Kompleks Sukan Jakabaring di sini sepanjang temasya Sukan SEA ke-26 yang akan dirasmikan esok dan berlangsung hingga 22 Nov ini.

Pegawai koordinasi Robby Ashadi berkata para tukang beca yang berasal dari sekitar Palembang dipilih untuk menyertai perkhidmatan itu berdasarkan kondisi  beca masing-masing, ketahanan fizikal selain tidak mengganggu pendapatan harian mereka.

"Tukang beca hanya diberi elaun Rp200,000 sehari (RM60) selain makan minum percuma dan pakaian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata penarik beca juga telah dilatih selama seminggu untuk membawa buah-buahan seperti pisang dan nangka seberat 40 hingga 50 kg bagi membina kekuatan fizikal mereka.

Meskipun elaun atau upah yang diterima tidak seberapa, tukang beca Beni Iskandar, 25, tidak menganggap itu sebagai satu masalah buat dirinya.

Sebaliknya, beliau menyertai kumpulan itu kerana mahu mencurahkan bakti kepada Palembang yang pertama kali menjadi tuan rumah bagi temasya sukan besar seperti Sukan SEA.

"Upahnya tak jadi masalah, yang penting saya bangga dapat membantu Indonesia khususnya tempat kelahiran saya ini Palembang," katanya yang telah tiga tahun menjadi tukang beca.

Beni yang baru saja berkahwin berharap Palembang akan menjadi lebih maju dan terkenal di kalangan pelancong selepas tamatnya Sukan SEA.

"Lebih ramai wisata (pelancong) yang datang, makanya lebih murah rezeki saya nanti," katanya.

Pengangkutan beca percuma ini yang beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam memudahkan petugas media bergerak dari satu venue ke venue dalam kompleks sukan seluas 300 hektar itu.

Selain beca terdapat juga perkhidmatan motosikal skuter atau speda dan bas mini.

Jakabaring menempatkan venue bagi kebanyakan acara di Palembang antaranya olahraga, akuatik, menembak, tenis, bola tampar pantai, softball, gimnastik, petanque dan roller skating. - BERNAMA

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More