PETALING JAYA - Pemain wanita negara, Low Wee Wern melakukan kejutan pada Kejohanan Skuasy Terbuka CIMB Malaysia 2012 apabila melangkah ke perlawanan separuh akhir di sini.
Bekas juara remaja kebangsaan itu menyingkirkan pemain nombor empat dunia, Jenny Duncalf, buat kali kedua selepas Terbuka Hong Kong baru-baru ini, pada saingan suku akhir Khamis.
Wee Wern hanya mengambil masa 32 minit untuk menundukkan pemain pilihan ketiga dari England itu dengan keputusan 11-7, 1-5 dan 11-8.
Wee Wern, pemain berusia 22 tahun dari Pulau Pinang itu, akan berdepan dengan pemain nombor dua dunia, Raneem El Weleily dari Mesir pada perlawanan separuh akhir Jumaat.
Raneem sebelum itu menempah tiket ke separuh akhir apabila mengalahkan pemain England Alison Waters 6-11, 11-9, 11-7, 11-2 pada satu lagi perlawanan suku akhir.
Sementara itu, dalam kategori lelaki, pemain negara Mohd Naffizwan Mohd Adnan, yang layak dengan tiket 'wild card', gagal ke separuh akhir apabila kalah kepada pemain Mesir, Tarek Momen dengan 8-11, 4-11, 13-11, 4-11.
Pemain pilihan kedua, Mohammed El Shorbagy dari Mesir turut melangkah ke separuh akhir apabila mengalahkan pemain Finland, Olli Tuominen, 11-8, 11-9, 1-11, 5-11, 11-8.
Manakala Nicolas Mueller dari Switzerland turut mara ke separuh akhir dengan menumpaskan Abdullah Al Muzayen dari Kuwait 10-12, 11-5, 11-4, 11-0. - BERNAMA








