8 Sep 2012

Wanita Umno kecam poster cuba lagakan Najib dan Muhyiddin



PASIR GUDANG – Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang menyifatkan pengedaran poster Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang tertera mesej agar menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sebagai cubaan melaga-lagakan pemimpin utama negara.

Ketuanya, Normala Abdul Samad berkata, tindakan berkenaan adalah satu propaganda jahat pihak tidak bertanggungjawab, yang menggunakan nama BN Johor sebagai penerbit poster berkenaan.

Menurutnya, Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang kagum dan selesa dengan gandingan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Muhyiddin.

“Kesungguhan dan kerjasama antara kedua pemimpin negara ini berjaya membentuk satu blok kekuatan yang sukar diruntuh oleh Pakatan Rakyat (PR).

“Kita percaya ini kerja pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecah-belahkan kepimpinan Umno dalam situasi menghadapi PRU13 yang semakin hampir,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Normala berkata, Wanita Umno Pasir Gudang berikrar akan menggerakkan seluruh jentera seramai 7,219 dari 92 cawangan dalam Parlimen Pasir Gudang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Menurutnya, kerjasama daripada Pemuda, Puteri dan Umno Bahagian diyakini mampu mencapai sasaran lebih 80 peratus kemenangan BN di semua Pusat Daerah Mengundi dalam Parlimen Pasir Gudang.

“Kami akan tetap berdiri teguh menyokong gandingan kepimpinan PM sebagai Presiden parti dan TPM sebagai Timbalan Presiden parti tanpa sebarang kesangsian.

“Apa sahaja propaganda dan provokasi pihak tertentu mahupun pihak tidak bertanggungjawab, tidak akan sekali-kali melemahkan jentera Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang,” katanya.


Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More