PUTRAJAYA - Ratu terjun negara Pandelela Rinong pada Rabu menerima surat tawaran ke Universiti Malaya (UM) dan insentif khas RM10,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas kejayaannya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London, baru-baru ini.
Surat tawaran dan insentif itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis meraikan kecemerlangan atlet institusi pengajian tinggi (IPT) di Menara KPT di sini.
Pandelela yang ditemui pemberita selepas majlis tersebut berbesar hati kerana mendapat dua 'hadiah' yang tidak disangkanya itu.
"Saya ingin berterima kasih kepada KPT dan UM kerana memberi saya insentif serta surat tawaran ini.
"Saya yakin insentif ini akan memberikan saya semangat untuk mencatatkan kejayaan dalam bidang sukan serta pelajaran," kata anak kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu.- BERNAMA








