KUALA LUMPUR - Dengan separuh daripada kontrak jurulatih kebangsaan bakal tamat hujung tahun ini, sekarang merupakan masa terbaik untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memulakan rombakan dengan menggantikan mereka yang tidak menunjukkan prestasi baik, selain menggugurkan pemain-pemain yang terlalu lama diperap tetapi tidak melakar kejayaan.
Itu pandangan dua bekas ketua jurulatih kebangsaan, Razif Sidek dan Yap Kim Hock, yang turut menegaskan, perubahan drastik adalah satu keperluan besar ketika ini, malah ia perlu dibuat sekarang untuk membolehkan BAM memulakan misi Sukan Olimpik Rio 2016 dengan segera atau mungkin ia sudah terlambat jika mereka memilih untuk menangguhkannya.
Biarpun kedua-dua bekas pakar beregu itu mempunyai pandangan berbeza mengenai keperluan untuk mengembalikan semula jawatan ketua jurulatih kebangsaan, namun Razif dan Kim Hock sependapat apabila menyentuh soal perlunya Malaysia mengambil beberapa jurulatih baru yang berkualiti bagi memberi nafas kepada badminton negara yang dilihat agak lesu.
Ketua jurulatih kebangsaan adalah jawatan yang amat penting kerana dia merupakan perancang utama kepada setiap agenda yang hendak dijalankan, namun kalau BAM benar-benar mahu mengembalikan jawatan tersebut, ia perlu datang bersama syarat, orang yang diberi kepercayaan harus dibenarkan membawa masuk beberapa jurulatih yang dikehendakinya untuk menggantikan jurulatih sedia ada yang tidak menunjukkan prestasi bagus.
Saya difahamkan lebih separuh daripada kontrak jurulatih sedia ada akan tamat pada hujung tahun ini, jadi sekarang adalah masa terbaik jika BAM mahu melakukan perubahan. Kalau melihat kepada prestasi badminton ketika ini, sudah tentu ada jurulatih yang tidak sepatutnya dikekalkan, saya tidak perlu sebut siapa, mereka (BAM) lebih arif, ujar Razif, pemenang pingat pertama Malaysia pada Sukan Olimpik.
Razif, 50, yang pernah mengalas jawatan ketua jurulatih kebangsaan dari 1994 hingga 1996 turut menegaskan, tidak kiralah sama ada BAM mahu membawa jurulatih asing atau tempatan ke dalam pasukan, yang penting jurulatih tersebut mesti memiliki kualiti tertinggi, kelayakan dan dihormati pemain.
Sementara itu, Kim Hock pula mengakui, peranan yang perlu dipikul seorang ketua jurulatih kebangsaan adalah terlalu berat kerana dia bukan saja perlu melatih pemain di gelanggang, malah mengadakan perbincangan dengan jurulatih, pihak pengurusan, menyediakan laporan serta merangka program untuk semua pemain negara.
Katanya, cukuplah dengan memiliki seorang ketua jurulatih perseorangan dan ketua jurulatih beregu, tidak perlu memiliki ketua jurulatih keseluruhan.
Saya bercakap berdasarkan pengalaman ketika menjadi ketua jurulatih (2005-2008). Saya rasa tanggungjawab terlalu berat dan ia menyebabkan anda tidak boleh fokus, sebab itu ramai yang tidak kekal dengan tugas ini. Mungkin sistem seorang ketua jurulatih perseorangan dan ketua jurulatih beregu sudah memadai.
Begitupun saya tetap percaya bahawa skuad kebangsaan sekarang memerlukan perubahan menerusi kemasukan jurulatih baru. Jurulatih yang sudah terlalu lama dan tidak menunjukkan prestasi baik perlu diganti, tetapi BAM juga kena pastikan pengganti mereka benar-benar berkualiti dan berkelayakan bukan sekadar cukupkan syarat.
Sekarang ini kita bercakap mengenai misi Sukan Olimpik 2016, jadi kita perlu mengumpulkan tenaga kerja yang terbaik dan takkan kita hanya mahu menyimpan mereka yang tidak menyerlah kerana kasihan. Sebahagian besar kontrak jurulatih akan tamat hujung tahun ini, jadi sekarang adalah masa untuk BAM bertindak jika mahu membuat perubahan, kata Kim Hock.
Malah, dia juga percaya, mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) hari ini juga perlu membuat keputusan yang tepat kerana mereka akan menentukan hala tuju badminton negara.
Kita tidak boleh main-main lagi, kita harus sedar bahawa kita telah gagal selama lapan tahun ini.
Kita punya misi adalah memenangi emas Olimpik dan kita tidak merealisasikannya pada temasya 2004, 2008 dan 2012 walaupun kita kata ia sebagai tempoh terbaik, jadi takkan kita masih hendak cakap kita berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan, ini tidak betul, kata Kim Hock.
Kim Hock turut menegaskan, sama ada BAM mahu membawa masuk jurulatih asing atau tempatan dalam skuad kebangsaan itu terpulang kepada mereka, namun yang penting jurulatih ini mesti seorang yang berkaliber dan lebih bagus lagi jika pernah melakar kejayaan pada Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia atau Piala Thomas.
Jurulatih yang hendak dilantik patut memiliki pengalaman pentas besar sama ada ketika bergelar pemain atau jurulatih. Takkan kita hendak pertaruhkan jurulatih yang tiada pengalaman kalau misi kita adalah Olimpik, ini hanya akan menimbulkan keadaan tidak stabil, ujar pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 itu lagi.
Mesyuarat C&T yang bakal dipengerusikan Setiausaha BAM, Ng Chin Chai hari ini akan mencari resolusi untuk mengembalikan badminton Malaysia ke landasan terbaik dengan misi utama adalah Olimpik Rio 2016. -UTUSAN








