6 Sep 2012

Kemelut belum selesai



KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang bermesyuarat selama kira-kira tiga jam di sini semalam, gagal membuat sebarang keputusan dalam menangani kemelut skuad bola sepak negeri itu.

Sebaliknya mesyuarat diakhiri dengan pengumuman pembentukan satu jawatankuasa bagi menyiasat kontroversi yang mencalarkan skuad itu membabitkan tiga pemain iaitu Muslim Ahmad, Ismail Faruqi As'hari dan Sharbinee Allawee serta jurulatih Peter Butler.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, apa sahaja keputusan atau tindakan hanya akan dibuat selepas berakhirnya kempen Piala Malaysia kelak.

Dalam masa yang sama beliau menafikan khabar angin kononnya Butler, yang lantang bersuara akan ditamatkan khidmatnya sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan itu.

Katanya, kesemua mereka terlibat dipanggil pada mesyuarat jawatankuasa PBSNT semalam selepas Terengganu tersingkir dalam saingan Piala Malaysia setelah tewas 0-2 kepada ATM kelmarin.

"Hari ini tiada keputusan dibuat kerana kita mahu mengumpul maklumat berkaitan isu-isu yang melanda pasukan ini terlebih dahulu dan perlu masa untuk menyiasat serta menganalisis semua perkara itu.

"Selepas ini kita akan adakan sekali lagi mesyuarat pada 17 September depan dan kita lihat macam mana nanti keputusan PBSNT," katanya kepada media selepas mesyuarat itu.

Tambah Che Mat, tujuan utama mesyuarat itu diadakan bagi menyelesaikan semua kemelut dan berharap ia tidak lagi berpanjangan.

Untuk itu, beliau mengingatkan semua pihak termasuk pemain serta jurulatih agar tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media.

"Jika ikut kontrak, pemain dan jurulatih tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan kepada sesiapa sahaja termasuk di laman web atau sosial Facebook dan Twitter.

"Kita bimbang apa sahaja yang kita luahkan akan disalahfaham oleh orang luar sehingga menimbulkan masalah pada keseluruhan pasukan selain masalah dalaman perlu diselesaikan 'di rumah'," ujarnya.

Ismail dan Muslim tidak diturunkan dalam dua perlawanan lalu kerana dikaitkan dengan masalah disiplin yang tidak lagi boleh dikompromi oleh Butler.

Posisi Sharbinee sebagai penjaga gawang Terengganu diambil alih Md. Sharmiza Yusof ketika menentang ATM, kelmarin.

Ini ekoran Butler hilang sabar dengan aksi penjaga gol itu ketika Terengganu menentang kedah Sabtu lalu.

Menyentuh mengenai persiapan perlawanan terakhir Terengganu pada 14 September ini menentang Kelantan, Che Mat berkata, dua pemain tonggak itu dibenarkan turun berlatih selagi isu disiplin mereka belum disahkan kebenarannya.

Bagaimanapun katanya, Sharbinee tidak diturunkan perlawanan terakhir bagi memberi peluang kepadanya berehat.



Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More