KOTA KINABALU - Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad mahu anggota Umno di negeri itu mengutamakan disiplin dan mengelakkan amalan menikam dari belakang terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Beliau berkata perbuatan itu boleh menjejaskan peluang calon Barisan Nasional (BN) untuk menang.
"Sememangnya, kita bersetuju dan mengalu-alukan amaran Timbalan Perdana Menteri untuk diambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang belot atau tikam dari belakang ketika kita berhadapan situasi menghadapi pilihan raya umum," katanya kepada pemberita di sini Selasa malam.
Sapawi ditemui selepas menghadiri majlis penutupan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah 2012, anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini malam tadi. Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Almain Ajirul.
Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran anggota atau pemimpin Umno yang didapati mensabotaj calon akan disingkir daripada parti. - BERNAMA








