31 Jul 2012

Superstar Man City turun ke Bukit Jalil



BUKIT JALIL - Manchester City akan dibarisi pemain terkemuka dunia seperti Carlos Tevez dan Sergio Aguero, Toure bersaudara Kolo dan Yaya, dan Vincent Kompany, dalam siri Jelajah Asia pertama mereka.

Dalam kunjungan sulung mereka ke Malaysia, pasukan yang bergelar 'The Citizens' itu, akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan, Harimau Malaya, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Isnin ini.

Dalam kenyataan hari ini, ProEvents Group, berkata Manchester City juga akan menurunkan pemain handalan lain seperti pemain sayap England, Adam Johnson, pakar sepakan bebas Alexsandar Kolarov dan pemain pertahanan serba boleh Pablo Zabaleta.

ProEvents Group adalah penganjur ekslusif program Jelajah Timur Jauh Manchester City 2012.

Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dijangka menghadapi masalah untuk menyusun strategi jaringan gol kerana penyerang handalan Malaysia Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha pasti mendapat layanan keras daripada Kompany dan Kolo Toure di kubu pertahanan pasukan pelawat itu, di samping asakan pemain pertahanan Zabaleta dan Kolarov.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group Julian Kam berkata rakyat Malaysia akan menjadi sebahagian daripada sejarah apabila mereka menonton persembahan pertama Manchester City di negara ini.

"Ini masa paling ideal bagi City untuk bertandang ke Malaysia selepas dinobatkan sebagai juara liga tahun lepas. Memandangkan City membawa ramai pemain terkenal dalam program jelajahnya, saya yakin perlawanan Isnin ini akan merupakan persembahan bertaraf antarabangsa," katanya.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan itu berharga RM58, RM68, RM108 dan tiket VIP terhad berharga RM388 boleh didapati di cawangan Ticketpro di seluruh negara, melalui hotline Ticketpro 03-7880-7999 atau dengan melayari www.ticketpro.com.my.



Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More