15 Feb 2012

Iran nafi dalangi letupan di Kedutaan Israel di India



TEHERAN - Iran hari ini menafikan tuduhan Israel bahawa negara ini mendalangi serangan ke atas kakitangan Kedutaan Israel di India dan Georgia.

"Kami sama sekali menyangkal tuduhan yang dilemparkan oleh rejim Zionis kerana itu hanya sebahagian perang propagandanya.

"Iran mengutuk segala tindakan keganasan," kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast, menurut siaran televisyen berbahasa Arab, Al-Alam.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh Iran mendalangi serangan yang mencederakan dua orang, termasuk seorang diplomat wanita Israel yang cedera parah.

"Iran mendalangi serangan itu, ia pengeksport keganasan terbesar di dunia," kata Netanyahu kepada anggota parti Likud pimpinannya.

Beliau mendakwa, beberapa percubaan telah dilakukan untuk membunuh atau mencederakan rakyat Israel dan Yahudi sejak beberapa bulan lalu, di tempat seperti Thailand dan Azerbaijan, dalam siri serangan yang dirancang oleh Teheran dan sekutunya, pergerakan Syiah di Lebanon, Hizbullah.

Semalam sebuah kereta di luar Kedutaan Israel di New Delhi meletup, menyebabkan seorang diplomat wanita Israel dan pemandunya cedera.

Dalam kejadian berasingan, Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan, polis di ibu negara, Tbilisi mematikan sebutir bom yang ditemui di dalam kereta seorang kakitangan Kedutaan Israel.

Mehmanparast berkata, Iran turut menjadi mangsa tindakan keganasan dan rejim Zionis itu sendiri melakukan keganasan dan pendudukan di wilayah Palestin.

Empat saintis Iran termasuk tiga yang terlibat dalam program nuklear Teheran, terbunuh dalam serangan bom di Iran dalam tempoh dua tahun lalu..

Pihak berkuasa Iran menuduh agensi pengintipan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, iaitu Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Mossad mendalangi serangan itu. - AFP



Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More