KUANTAN - Rompin menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir selepas Kuantan apabila seramai 258 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
Menurut jurucakap bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, semua mangsa dipindahkan lewat petang tadi berikutan kawasan kediaman mereka dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 1.5 meter.
"Mereka yang terbabit terdiri daripada penduduk Kampung Perepat (35 orang) yang dipindahkan ke Masjid Perepat, Kampung Jengka 1 (19 orang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Jengka), Kampung Kurnia (186 orang dipindahkan ke Dewan Teluk Gading), Kampung Kerpal (7 orang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sepayang), Kampung Simpang Sepayang (9 orang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sepayang) dan Kampung Paya Laka (2 orang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sepayang)," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan di Kuantan sehingga 10 malam ini kekal 77 orang.
Beliau juga meminta penduduk Pahang berjaga-jaga kerana hujan masih berterusan dan paras sungai utama iaitu Sungai Pahang dan Sungai Kuantan masih di paras berjaga-jaga. - BERNAMA








