Rambut adalah perhiasan wanita yang perlu dijaga dan wajib ditutup oleh setiap muslimah, bukan untuk menjadi tontonan kepada khalayak ramai. Sedar akan tuntutan tersebut, semakin ramai muslimah yang menutup aurat mereka dengan memakai tudung.
"Timbul persoalan samada mereka menutup aurat adalah tuntutan hukum agama atau perkembangan fesyen masa kini. Bermula dari tudung ala-ala mawi, ala-ala angkasawan, ala-ala wardina dan terbaru ala-ala tudung ibu Arini. Semua fesyen ingin dicuba sehingga mendapat pujian dan perhatian daripada semua golongan baik perempuan dan lelaki yang bukan muhrim……..nauzubillah….niat untuk menambah pahala tapi apa yang jadi adalah menambah dosa…….masyaallah……."
Sungguh menghairankan. Menutup aurat daripada langsung tidak menutup aurat dikatakan semakin menambahkan dosa. Perenggan di atas adalah salah satu contoh artikel yang memeningkan umat Islam.
Alhamdulillah perkembangan positif dari semasa ke semasa seharusnya disambut dengan ucapan syukur kepada Ilahi. Ramai anak-anak muda sudah mula sedar dan mula meletakkan kain di atas kepala bagi menutup rambut mereka. Ditambah pula dengan pusingan 'U' oleh beberapa artis dan selebriti-selebriti tanah air yang mula kembali mencari jalan kebenaran. Syukur Alhamdulillah.
Namun begitu tidak kurang pula yang berfikiran aneh mula mengomel-ngomel tentang fenomena ini. Maka timbul pelbagai artikel yang apabila dibaca seakan-akan benar, seakan-akan Islam namun entah apa yang diperjuangkannya.
Ya, memang benar pada zaman ini memakai tudung adalah tidak sama dengan zaman-zaman terdalulu. Pelbagai fesyen baru dengan gaya baru malah jenis kain pun baru diperkenalkan sesuai dengan kehendak dan peredaran zaman.
Maka apakah salahnya, apakah dosanya, apakah peliknya bagi wanita muslim menggayakan tudung yang berfesyen tidak melampau selagi ia menutup aurat? Mengapa pula dilabelkan "niat untuk menambah pahala tapi apa yang jadi adalah menambah dosa" sedangkan menutup aurat itu wajib dan mendedahkan aurat itu berdosa?
Inilah yang dikatakan dunia akhir zaman. Apabila wanita yang tidak berhijab (bertudung) tidak pula ditegur, sebaliknya yang bertudung pula dikeji. Akibatnya yang tidak bertudung merasakan diri mereka lebih baik daripada yang bertudung. Mana tidaknya, kata mereka;
"Kami tidak bertudung kerana kami tidak hipokrit, lebih baik daripada yang bertudung tetapi hanya untuk menunjuk-nunjuk".
Lihatlah apa yang terjadi apabila idea daripada ilmu yang cetek disebarkan pasti merosakkan umat manusia. Inilah dunia huru-hara akhir zaman apabila manusia sudah keliru antara yang benar dan yang salah serta antara yang hak dan yang batil.
Walaupun begitu, tidak dinafikan sememangnya ada dikalangan wanita pada hari ini menjadikan hijab atau tudung sebagai fesyen, malah tidakpun menutup aurat. Ada juga yang memakai tudung yang singkat yang tidak menutup dada sedangkan tujuan asal memakai tudung adalah untuk menutup aurat. Sama-samalah kita doakan mereka.
![]() |
| [Bertudung kerana fesyen? Anda tidak ubah hanya seperti Jenifer Lopez] |
"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)
Kesimpulannya, sebagai saudara seagama marilah sama-sama kita berpesan-pesan dan menegur sesama kita agar sentiasa pada landasan yang benar. Buat kaum hawa yang masih belum terbuka pintu hatinya untuk menutup kepalanya, ingatlah azab Allah di hari akhirat adalah amat pedih.
Firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nur ayat 31
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluanya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa dilihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putra-putra mereka atau putra-putra suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putra-putra saudara lelaki mereka atau putra-putra saudara perempuan mereka atau para perempuan (sesama Islam) mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki atau para pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung“.
Ya, mungkin tidak semua wanita yang memakai tudung itu baik. Namun semua wanita yang baik pasti memakai tudung. Wassalam..









