12 Dis 2011

22,238 orang di Pahang daftar cari kerja tahun ini

[Gambar hiasan] 

KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini diberitahu sepanjang tahun ini seramai 22,238 pencari kerja di negeri itu berdaftar untuk mencari pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Fong Koong Fuee berkata daripada jumlah itu, 19,736 mendaftar melalui portal JobsMalaysia manakala 2,502 orang mendaftar secara manual.

Jabatan Tenaga Pahang mengambil beberapa pendekatan di dalam membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri itu termasuk melalui portal berkenaan dan Program Penempatan Pekerjaan (3P), katanya menjawab soalan Datuk Pang Tsu Ming (BN-Semambu).

Katanya portal JobsMalaysia yang boleh diakses di www.jobsmalaysia.gov.my memberi kemudahan kepada pencari kerja untuk memohon pekerjaan yang bersesuaian.

Bagi program 3P katanya, pencari kerja akan dijemput ke program itu untuk dipertemukan dengan majikan, di mana sesi temuduga terus diadakan dan keputusan diberikan pada hari yang sama bagi jawatan tertentu.

"Sehingga 30 Okt tahun ini sebanyak 14 program 3P telah diadakan dan seramai 2,878 pencari kerja berjaya diambil bekerja oleh majikan yang menyertai program itu," katanya.

Fong berkata sehingga kini masih terdapat 4,047 kekosongan jawatan dalam sektor pertanian, perikanan dan pekerjaan asas di seluruh negeri.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob meminta semua sekolah di Pahang yang tidak atau belum memiliki padang masing-masing menjalankan aktiviti sukan di padang berhampiran sekolah terbabit.

Katanya ketiadaan padang sekolah di kebanyakan sekolah berlaku kerana tempat yang sepatutnya dijadikan padang telah didirikan bangunan tambahan.

"Sepatutnya lokasi untuk padang sekolah janganlah diusik, carilah tempat lain untuk bina bangunan sekolah kerana padang amat penting untuk anak-anak kita melakukan aktiviti menyihatkan," katanya ketika menjawab soalan Datuk M. Davendran (BN-Sabai). - BERNAMA




Kongsi Berita / Artikel Ini

Twitter Facebook

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More