![]() |
| [Gambar hiasan] |
BESUT - Seramai 196 orang daripada 41 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap dekat Kuala Besut di sini terpaksa berpindah apabila rumah mereka ditenggelami air laut pasang besar serta dipukul ombak setinggi empat meter malam Ahad.
Mereka yang terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa dan 44 kanak-kanak lelaki serta 30 kanak-kanak perempuan itu kini ditempatkan di Balai Raya Pengkalan Atap yang letaknya kira-kira 500 meter dari kawasan terlibat sejak pukul 9 malam Ahad.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar berkata kesemua mangsa kini selamat dan telah dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dibekalkan selimut dan makanan.
Katanya air pasang mula berlaku kira-kira jam 8 malam lagi dengan diikuti ombak setinggi antara tiga hingga empat meter menyebabkan kesemua rumah penduduk yang terletak kira-kira 400 meter dari pinggir laut itu mula dimasuki air.
"Keadaan bertambah cemas apabila benteng tanah yang dibina bagi mengelakkan ombak berhampiran perumahan di situ roboh di dua tempat menyebabkan air laut masuk," katanya yang turut melawat tempat kejadian malam Ahad dan pagi Isnin.
Tinjauan Bernama ke kampung berkenaan pagi Isnin mendapati hampir kesemua rumah kosong ditinggalkan penghuninya ke tempat perpindahan.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa penduduk yang datang semula pagi Isnin bagi membersih rumah masing-masing selepas air mulai surut.
Salah seorang penduduk, Mak Ya@Saunah Ali, 61, berkata beliau dan keluarga mula berpindah pukul 2 pagi apabila mendapati paras air laut yang memasuki rumahnya semakin tinggi.
Katanya keadaan itu jarang-jarang berlaku dan dia sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke balai raya kerana bimbangkan keselamatan keluarga. - BERNAMA








