KUALA LUMPUR – Akhbar The West Australian semalam mengakui kesilapannya berhubung penyiaran artikel yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan sebanyak A$60,000 (RM194,157) di sebuah pusat beli-belah di Perth semasa Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.
Dalam ruangan pembetulan dan penjelasan yang diterbitkan, akhbar berkenaan turut mengesahkan bahawa anak perempuan Perdana Menteri juga tidak berada di Perth dan ini bercanggah dengan laporan yang mereka siarkan pada Isnin lepas.
Kenyataan akhbar itu boleh dilayari menerusi portal akhbar The Borneo Post yang menerima salinan halaman tersebut yang diemelkan oleh wartawan ekonominya, Neale Prior.
The West Australian juga menyebut adalah menjadi polisi akhbar itu untuk memperbetulkan setiap kesilapan mereka seboleh yang mungkin.
Sementara itu naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan pengamal media perlu melaksanakan tanggungjawab yang betul dalam setiap apa yang dilaporkan.
Ini, katanya kerana kesilapan mereka menyiarkan sebarang berita akan menjatuhkan maruah sesebuah negara mahupun individu tertentu.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan akhbar Australia, The West Australian mengakui laporannya sebelum ini yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Razak berbelanja besar di negara itu sebagai tidak benar.
"Saya rasa apa yang penting adalah sikap tanggungjawab pengamal media apatah lagi ia menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa.
"Sebarang laporan yang tidak tepat sudah pasti akan memjatuhkan imej sesebuah negara serta individu tersebut, dan apa yang saya katakan ini bukan hanya merujuk kepada apa yang disiarkan di dalam akhbar milik Australia itu sahaja tetapi ia meliputi pengamal media di dalam negara kita.








