LONDON - Keputusan seri 1-1 dengan Genk lewat pagi tadi dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara nyata mengecewakan jurulatih Chelsea Andre Villas-Boas yang kini berada dalam keadaan terdesak mengutip kemenangan.
Dua kekalahan berturut-turut dalam liga serta diheret dengan masalah melibatkan kapten mereka John Terry yang didakwa menghamburkan kata-kata perkauman ke atas Anton Ferdinand nyata mengganggu rentak permainan mereka.
"Kami bermain baik pada separuh masa kedua tetapi aksi separuh masa kedua mengejutkan saya.
"Mereka sepatutnya menang tapi keputusan seri ini amat mengecewakan," kata Villas-Boas.
Meskipun mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Ramires ia masih belum cukup untuk Chelsea yang kemudiaannya gagal mempertahankan kelebihan yang dimiliki.
Kekecewaan Villas-Boas untuk melihat mereka membawa pulang mata penuh dilengkapkan dengan kegagalan David Luiz menyumbat masuk penalti yang diperoleh pada separuh masa kedua.
Walapun turun beraksi tanpa tonggak utama seperti John Terry, Frank Lampard, Didier Drogba dan Juan Mata yang direhatkan, Chelsea tetap dilihat sebagai pilihan untuk membenam juara Belgium tersebut namun gagal mengekalkan momentum pada separuh masa kedua nyata memakan diri.
Gol Ramires dijaringkan selepas mendapat umpanan cantik daripada rakan sepasukan Fernando Torres pada minit 26 dan peluang untuk menambah jaringan hadir sebelum berakhir separuh masa pertama namun sepakan Luiz menghampakan kem Chelsea.
Kegagalan tersebut nyata mengganggu rentak permainan Chelsea yang tenggelam pada separuh masa kedua sebaliknya pasukan pelawat berjaya menyumbat gol penyamaan pada minit ke-61 menerusi rembatan cantik Jelle Vossen yang mendapat hantaran daripada Fabien Camus di sebelah kiri.
Keputusan lain menyaksikan BATE Borisov seri 1-1 dengan AC Milan, Valencia menewaskan Bayer Leverkusen 3-1, Borussia Dortmund menewaskan Olympiakos Piraeus 1-0, Arsenal seri 1-1 dengan Marseille dan Barcelona menewaskan FC Viktoria Plzeň 4-0. - AFP








