15 Nov 2011

SUKAN SEA: Skuad badminton lelaki sumbang satu perak



JAKARTA - Skuad  badminton Malaysia sekadar meraih pingat perak selepas kalah 1-3 kepada pasukan tuan rumah pada aksi final acara berpasukan lelaki di Sukan SEA ke-26 di Stadium Istora Senayan di sini.

Malaysia menurunkan Liew Darren sebagai perseorangan pertama namun tumpas 20-22, 12-21 kepada Simon Santoso.

Gandingan Lim Khim Wah/Goh Wei Shem menghidupkan kembali peluang Malaysia untuk meraih emas dengan menumpaskan Bona Septano/Ahsan Mohammad 21-18, 15-21, 25-23 namun perseorangan kedua negara, Mohamad Arif Abdul Latif jelas bukan tandingan Tommy Sugiarto apabila kalah 13-21, 17-21.

Gandingan beregu tuan rumah, Hendra Setiawan/Markis Kido menutup terus peluang Malaysia dengan menjinakkan Mak Hee Chun/Ong Soon Hock  21-10, 21-14.

Satu-satunya gandingan Malaysia yang memenangi satu mata di perlawanan akhir ini, Lim dan Goh berkata walaupun mereka dicemuh penyokong lawan, namun semangat melawan mereka tetap tinggi.

"Pemain lawan tampak bersemangat dengan sorakan penonton, sedangkan kami seperti tiada penyokong tetapi kekuatan kami ialah kepantasan dan itulah senjata yang membawa mata tunggal Malaysia di final ini," kata Goh.

Singapura membawa pulang pingat gangsa.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dari acara ini ialah di edisi Korat, Thailand pada 2007. - BERNAMA

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More