SEREMBAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak akan terburu-buru untuk mengambil pemain import bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan setelah beberapa pemain luar termasuk dari Brazil yang diuji semalam gagal menyerlah.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Presiden PBNS berkata persatuan akan menguji beberapa pemain lagi dan hanya akan menyerapkan pemain import yang benar-benar dapat menambah nilai kepada pasukan.
"Kita akan menguji beberapa pemain yang bermain di La Liga Divisyen Dua, Sepanyol dan juga pemain-pemain Cameroon.
"Kita tidak mahu terburu-buru mengambil mereka atau menyerap mereka dalam pasukan sehingga kita benar-benar puas hati bahawa mereka boleh menambah nilai dalam pasukan kita," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara Negeri Sembilan dan pasukan kebangsaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan tumpas 0-2 kepada skuad kebangsaan dengan gola dijaringkan oleh Safiq Rahim pada minit ke-41 menerusi sepakan penalti dan Shahrizal Mohd Saat pada minit ke-89.
Negeri Sembilan mengambil kesempatan perlawanan persahabatan itu untuk menguji tujuh pemain import dari Brazil, Colombia dan Serbia.
Mohamad berkata selepas perlawanan persahabatan semalam, pemain-pemain import tersebut akan diuji lagi pada dua lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang pasukan kebangsaan Malawi dan Bangladesh.
Jurulatih pasukan Mohd Azraai Khor Abdullah berkata kebanyakan pemain import yang diuji semalam tidak menunjukkan prestasi dan piawaian yang diperlukan untuk menguatkan pasukan Negeri Sembilan.
"Kita masih ada masa, jadi kita akan cari pemain yang lebih berkualiti, dan masih banyak pemain import yang boleh diuji," katanya.
Negeri Sembilan ada juara Piala Malaysia musim ini.
Perarakan piala itu ke Port Dickson pada Jumaat telah ditunda kerana piala itu akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. - BERNAMA








