15 Nov 2011

MB Perlis bidas pihak pertikai bantuan kerajaan



KANGAR - Menteri Besar Datuk Seri  Dr Md Isa Sabu membidas  segelintir pihak yang mempertikai keputusan kerajaan memberi bantuan RM100 seorang kepada setiap murid tanpa mengambil kira kedudukan ekonomi ibu bapa mereka.

Katanya kerajaan telah mengambil langkah bijak mengeluarkan sumbangan itu kepada pelajar tetapi ada pihak yang sengaja mencari kelemahan kerajaan dengan mempertikaikan usaha murni itu dengan beranggapan pelajar daripada golongan kaya tidak berhak menerimanya.

"Kerajaan membuat keputusan memberi sumbangan RM100 kepada setiap pelajar walaupun mereka di kalangan  anak keluarga kaya sebagai perangsang kepada mereka untuk berusaha gigih dalam pelajaran," katanya semasa berucap pada majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2011 Sekolah Kebangsaan Abi dekat sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Md Isa menyampaikan cek bernilai RM28,400 kepada guru besar sekolah itu, Adanan Long, sebagai bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 284  pelajar sekolah itu.

Beliau berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak tertentu yang turut mempertikaikan bantuan RM500 kepada keluarga  berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Katanya  selama ini pun kerajaan telah menyalurkan bantuan berterusan kepada rakyat termasuk dalam bidang pendidikan untuk membolehkan anak-anak menerima pendidikan hingga ke peringkat paling tinggi mengikut kemampuan dan minat mereka.

"Bagi anak-anak yang tidak mempunyai kebolehan dalam bidang akademik, mereka boleh melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran di pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan bidang kemahiran tertentu yang sesuai dengan mereka," katanya.

Md Isa menasihati ibu bapa supaya tidak kecewa jika anak-anak mereka tidak cemerlang dalam akademik sebaliknya memberi perangsang supaya mereka berjaya  dalam bidang lain yang mereka minati termasuk kesenian dan sukan. - BERNAMA

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More