![]() |
| [Kanak-kanak bermain air bah di Kampung Paloh, Kota Bharu] |
KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan bertambah buruk dengan jumlah mangsa dipindahkan di kedua-dua negeri meningkat kepada 3,457 orang pagi ini berbanding 1,712 orang malam Rabu.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa yang dipindahkan sehingga kini iaitu di Setiu meningkat kepada 1,510 orang pagi Khamis berbanding 829 orang malam Rabu manakala di Besut 940 orang berbanding 365 orang pada Rabu.
Di daerah Hulu Terengganu pula jumlah penduduk yang berpindah juga meningkat daripada 105 orang petang semalam kepada 211 orang pagi Khamis dan Marang melibatkan 11 penduduk yang dipindahkan setakat pagi Khamis.
Paras air sungai di beberapa tempat juga dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu di Setiu (Jambatan Permaisuri, Kampung Langkap dan Kampung Bukit), di Hulu Terengganu (Kuala Ping) dan di Besut (Jambatan Jertih dan Kampung La).
Sementara itu, di KELANTAN sehingga 8 pagi, sebanyak 189 keluarga melibatkan 785 orang dipindahkan ke 18 buah pusat pemindahan berikutan keadaan banjir yang semakin teruk.
Mereka yang baru dipindahkan ialah seramai 35 orang di daerah Kuala Krai, 306 (Kota Baharu), 101 (Machang), 197 (Pasir Mas), 21 (Pasir Puteh) dan 125 (Tanah Merah).
Dua sungai utama pula berada di paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard. - BERNAMA








