KUALA LUMPUR - Kaspersky Lab, pembangun utama penyelesaian kandungan terjamin dan pengurusan ancaman, menjangkakan perolehan daripada segmen perusahaan akan mengatasi segmen pengguna dalam tempoh tiga tahun.
Pengarah Jualan Korporat Asia Pasifiknya Gun Suk Ling berkata segmen perusahaan mesti mengatasi segmen pengguna bagi membolehkan syarikat itu menjadi antara tiga penyedia penyelesaian kandungan terjamin dan pengurusan ancaman terbaik di dunia.
"Pasaran perusahaan adalah lebih besar berbanding pengguna, dan kegiatan cetak rompak lebih rendah, sekaligus perolehan akan lebih tinggi berbanding segmen pengguna," katanya kepada Bernama.
Gun berkata syarikat itu yang melancarkan Kaspersky Endpoint Security 8 untuk Windows dan Kaspersky Security Centre pada 20 Okt, bermatlamat menarik perusahaan besar yang mempunyai lebih 1,000 pengguna untuk menggunakan produk baharu itu.
Produk baharu ini akan membolehkan syarikat menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang lebih besar yang memerlukan lebih banyak ciri selain antimalware dan mengukuhkan penguasaan pasaran dalam segmen perusahaan negara.
Penguasaan pasaran Kaspersky dalam segmen perusahaan kini kurang daripada 10 peratus berbanding segmen pengguna sebanyak 65 peratus.
Kaspersky Endpoint Security 8 untuk Windows dan Kaspersky Security Centre dibangunkan untuk menyediakan perlindungan ancaman yang meluas dalam perusahaan dan kawalan menyeluruh, dan berdasarkan penugasan berpusatnya, ia diurus dan dipantau oleh sistem pengurusan perlindungan bersepadu.
Produk itu juga menyediakan ciri yang dipertingkat seperti enjin antivirus baharu dengan kawalan awam dan titik akhir, katanya.
Mengenai prestasi kewangannya, Gun berkata perolehan syarikat itu tahun ini dijangkakan kira-kira 50 hingga 80 peratus berbanding 300 peratus tahun lepas.
Beliau berkata pertumbuhan yang lebih rendah itu disebabkan oleh cabaran yang dihadapi oleh syarikat, termasuk saingan yang meningkat serta harga yang lebih rendah daripada pesaing.
"Jumlah kami akan meningkat namun perolehan tidak berkembang sebesar yang kami peroleh tahun lepas," katanya. - BERNAMA








