9 Nov 2011

Fabregas kembali sarung jersi Sepanyol



MADRID – Bintang tengah Barcelona, Cesc Fabregas akan kembali memperkuatkan pasukan Sepanyol bagi menghadapi dua perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa menentang England dan Costa Rica.

Bekas perancang utama Arsenal itu terlepas perlawanan kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2012 bulan lalu kerana kecederaan, namun bakal kembali ke London buat kali pertama sejak berpindah dari England.

Fabregas mendapat tempat dalam skuad 23 pemain bimbingan Vicente del Bosque selepas menunjukkan aksi cemerlang bersama kelab barunya, Barcelona sepanjang musim ini.

Dia antara lapan pemain Barca yang disenaraikan untuk kedua-dua perlawanan tersebut, biarpun kedudukan Xavi Hernandez masih belum pasti selepas pemain tengah itu dikeluarkan daripada aksi terakhir La Liga, Sabtu lali akibat kecederaan.

Pemain itu mengalami masalah otot ketika membantu pasukannya seri 2-2 di Athletic Bilbao dan dikeluarkan pada awal permainan.

“Setakat yang saya tahu, tiada sesiapa yang cedera. Kami akan segera memanggil Xavi sekiranya ada sesuatu yang tidak kena. Kami mempunyai opsyen pemain yang mencukupi untuk mengatasi sebarang masalah kecederaan yang timbul,’’ kata Del Bosque.

Pemain sayap Sevilla, Jesus Navas akan mengisi kekosongan Pedro Rodriguez yang diketepikan akibat kecederaan manakala tonggak pertahanan Malaga, Ignacio Monreal juga akan kembali dalam pasukan.

Ketua pasukan Real Madrid, Iker Casillas bakal menjadi pemain paling banyak membuat penampilan bersama Sepanyol andai diturunkan dalam kedua-dua perlawanan. Casillas, salah satu daripada lima pemain Real yang dipanggil hanya dipisahkan satu perlawanan di belakang rekod yang dipegang bekas penjaga gol, Andoni Zubizarreta (126).

Diketepikan daripada pasukan adalah pemain tengah Barcelona, Thiago Alcantara untuk membolehkan dia beraksi dalam skuad bawah 21 tahun Sepanyol.

“Thiago adalah pemain yang mempunyai rating sangat tinggi dan saya sendiri telah bercakap secara peribadi dengannya, kami bersetuju bahawa dia lebih diperlukan untuk beraksi buat skuad bawah 21.

“Kami cukup meyakini kemampuannya, dia masih ada banyak peluang untuk mengisi tempat dalam pasukan senior pada masa akan datang,’’ ujar Del Bosque.

Juara dunia itu akan menentang England di Stadium Wembley, Sabtu ini sebelum menentang Costa Rica di San Jose, tiga hari kemudian.

“Kami hanya mempunyai tiga perlawanan sebelum menyenaraikan skuad untuk menghadapi Kejohanan Eropah, jadi kami kena ambil kesempatan penuh dalam perlawanan ini,’’ kata Del Bosque. – Agensi

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More