KOTA BAHARU - Keadaan banjir di Kelantan pagi ini semakin baik apabila hanya tujuh buah pusat pemindahan sahaja yang masih lagi beroperasi dalam dua daerah di negeri ini iaitu Pasir Mas dan Tumpat.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata jumlah mangsa pemindahan banjir yang dicatatkan pagi ini ialah seramai 1,309 orang membabitkan 373 buah keluarga.
"Paras Sungai Golok di Rantau Panjang pagi ini juga terus menunjukkan penurunan kepada 9.89 meter, (namun) masih melebihi paras bahaya 9 meter," katanya kepada Bernama.
Katanya tiga laluan iaitu Jalan Banggol Kulim dan Jalan Pengkalan Rakit di Pasir Mas masih lagi ditutup manakala di Tumpat, Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti belum dibuka lagi.
Sehingga hari ini, banjir yang melanda Kelantan telah meragut empat nyawa dengan tiga lagi masih dilaporkan hilang.
Mereka yang hilang dikenali sebagai Mohd Alif Rizuan, 15, yang mandi di sebuah sungai di Machang, Mohd Azman Yusuf, 17, yang hilang di Sungai Golok dan Mohd Farid Mohd Yusof, 20, yang hilang di Pantai Kuala Pak Amat. - BERNAMA








