1 Nov 2011

Badminton remaja negara juara dunia



KUALA LUMPUR - Skuad badminton remaja negara mencipta sejarah apabila buat kali pertama menjuarai acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taipei, semalam.

Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan utama di sebalik ketiadaan juara tujuh kali, China, menepati ramalan menewaskan juara 2006 Korea Selatan 3-0 untuk menjulang kejuaraan tersebut pada cubaan kesembilan.

Meskipun Kejohanan Remaja Dunia dimulakan pada 1992, acara berpasukan campuran hanya diperkenalkan pada 2000 dan diadakan secara dwitahunan sehingga 2006 sebelum ia bertukar kepada acara tahunan mulai 2007.

Kecuali edisi 2000 dan 2007, Malaysia tidak pernah gagal menaiki podium, malah sekali muncul naib juara pada 2009 di Alor Setar apabila ketika itu tumbang 0-3 pada perlawanan akhir kepada China.

Di Taipei semalam, Malaysia tidak mensia-siakan ketidakhadiran China untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu dan misi tersebut disempurnakan oleh penyandang juara perseorangan lelaki remaja Asia, Zulfadli Zulkifli, Sonia Cheah Su Ya dan Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi dalam acara masing-masing.

Bintang muda kian meningkat, Zulfadli yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), bangkit dari kekalahan set pembukaan untuk menghadiahkan mata pertama untuk kem negara dengan menewaskan Lee Hong-Je 17-21, 21-11, 21-14.

Korea Selatan menjangkakan mata akan hadir daripada barisan wanitanya tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Sonia meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa menerusi kemenangan 25-23, 21-12 ke atas Kim Hyo Min, pemain yang secara mengejutnya dipertaruhkan Korea Selatan dalam final walaupun tidak beraksi di peringkat kumpulan dan separuh akhir.

Set pertama berlangsung sengit menyaksikan Sonia dan Hyo Min terikat 22-22 dengan pemain kita itu tiga kali menyelamatkan mata akhir sebelum memenangi set getir itu.

Sonia meningkatkan permainan pada set berikutnya apabila menang mudah 21-12, sekali gus memastikan Malaysia memperoleh mata kedua menerusi acara perseorangan wanita itu.

Gandingan Nelson-Ee Yi, walaupun tercicir set pertama, nyata tidak mengecewakan apabila muncul hero menghadiahkan mata kemenangan dengan membenam cabaran Choi Sol Kyu-Jun Bong Chan 16-21, 21-18, 21-12.

Diharapkan kejayaan menjulang gelaran berpasukan akan menyuntik semangat Zulfadli dan rakan-rakan dalam acara individu yang akan membuka tirai hari ini.

*Sumber: Utusan

Apa Komen Anda

Penafian :

"Segala komen yang dihantar adalah dibawah tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri. Pihak Media Alternatif tidak akan bertanggungjawab ke atas segala komen yang dihantar oleh pembaca di laman ini."

Kongsi Media Alternatif

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More