KUALA LUMPUR - Malware terus menjadi ancaman kepada telefon pintar Android, mengikut Sourcefire Inc. syarikat keselamatan siber yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
"Telefon pintar Android terdedah kepada malware mudah alih kerana keterbukaannya, yang menarik penggodam," kata Alex Kirk, penganalisis penyelidikan kanan di Sourcefire.
Salah satu ciri terbaik mengenai OS Android ialah ia menyediakan akses kepada pelbagai rujukan dan alatan untuk membina aplikasi pada platformnya.
"Tetapi keterbukaan yang sama juga menarik hacker untuk mewujudkan malware," jelas Kirk semasa menyampaikan ceramah di persidangan keselamatan 2011, "Hack In The Box" (HITB) di sini baru-baru ini.
Satu jenis malware yang menjejaskan telefon pintar Android adalah trojan SMS. Apabila ia terpasang, trojan akan menghantar mesej teks kadar premium tanpa pengetahuan pemilik. Akibatnya, mangsa menanggung jumlah bil telefon yang tinggi, katanya.
Jenis lain malware yang dikesan termasuk yang mengubah telefon pintar ke dalam bot untuk menghantar semula virus atau untuk melaksanakan sesuatu tindakan yang telah diprogramkan (yang dilaksanakan dari jauh) tanpa keizinan pengguna.
Satu lagi cara untuk menyebarkan malware pada telefon pintar Android adalah melalui kod-kod QR. Apabila pengguna mengimbas kod QR, mereka diarahkan semula ke laman web hosting trojan Android.
Walaupun malware mudah alih Android adalah jauh lebih rendah daripada malware desktop, yang mencakupi 40,000 serangan sehari, ia masih membimbangkan, jelas Kirk.
"Ini adalah kerana Android menguasai 50% daripada pasaran telefon pintar berdasarkan pelbagai kajian penyelidikan. Oleh itu, pengguna perlu mengambil langkah-langkah untuk melindungi telefon pintar mereka," katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Kirk menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun aplikasi dari laman web yang tidak dipercayai.








