TRIPOLI - NATO akan memutuskan secara rasmi sama ada untuk menamatkan misi di Libya selepas kematian Muammar Gaddafi.
Keputusan untuk menghentikan rondaan di ruang udara Libya pada akhir bulan ini merupakan petanda ke arah melunaskan janji Majlis Kebangsaan Peralihan (NTC) untuk melaksanakan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil pada tahun 2013.
Namun, kematian Gaddafi serta anaknya Mo'tassim serta tindakan mempamerkan mayat mereka kepada umum dilihat tidak menggambarkan Libya mempunyai prospek untuk memiliki sebuah kerajaan yang stabil serta menghormati undang-undang pada masa akan datang.
Gaddafi dan Mo'tassim dikebumikan di lokasi yang dirahsiakan di tengah padang pasir untuk mengelakkan kubur mereka dijadikan tempat suci bagi pengikut-pengikut setia Gaddafi.
Setelah mendapat tekanan daripada sekutu barat, NTC akhirnya akur dan akan menjalankan siasatan Isnin nanti bagaimana Gaddafi dan anaknya terbunuh. Hasil rakaman telefon bimbit, Gaddafi dan Mo'tassim masih hidup sewaktu ditangkap namun dia diejek, dipukul dan didera sebelum meninggal dunia. - Reuters








